Dengar Dulu Lagu Pamgit ini... bagi feeling sikit... he heee

Showing posts with label aktiviti. Show all posts
Showing posts with label aktiviti. Show all posts

Tuesday, 24 July 2012

Keseronokan Bekerja

25 Julai 2012
Catatan: Mohd Asri Redha

Nak bagi seronok bekerja sebenarnya bukan mudah seperti cakap. Namun kita kena bagi seronok juga bila bekerja.. Walau apa cara sekalipun kena usaha bagi seronok. Kalau tidak sebahagian besar hidup kita didunia ini berada dalam keadaan tidak seronok..  makanya diri sendirilah kena pandai-pandai bawa diri macam mana nak bagi seronok dalam bekerja. Ada juga yang seronok bekerja tapi bukan dalam bentuk yang produktif.. tapi dia seronok mai kerja kat pejabat tapi tak buat kerja sepenuhnya pun dan asyik tuang kerja saja dan curi masa kerja untuk kerja peribadi lain. Ada juga ambil kesempatan waktu bekerja dengan kuasa dan peranan yang ada di jabatan-jabatan tertentu, dia boleh atur pula untuk kepentingan diri sendiri... Seronok bekerja cara ini tidak boleh pakai langsung...  Yang jenis inipun banyak juga kat kebanyakan opis. Yang jenis ini saya akan cerita lain dalam ruang khusus atas tajuk itu

Yang saya maksudkan  disini ialah kita seronok bekerja tapi produktiviti kita juga tinggi. ... Saya sebagai Ketua Jabatan tak lah pandai untuk beri ceramah motovasi untuk  cerita fasal seronok bekerja kepada kakitangan. Jadi kita cari orang pakar untuk cerita apa yang membolehkan seseorang itu seronok bila datang bekerja. Dia sentiasa ceria sahaja berada dipejabat. Buat kerja dengan penuh tanggungjawab, berdisiplin, mematuhi arahan ketua dan pegawai atasannya, tidak berkira dalam bekerja, sentiasa hendak membantu pelanggan yang datang berurusan, sentiasa mengambil bahagian dalam setiap aktiviti jabatan dan kelab jabatan, mempunyai kasih sayang sebagai sahabat dikalangan kakitangan dan segala macam yang baik-baik belaka.  Alangkah seronoknya saya dan semua orang jika semua kakitangan yang ada macam tu.. bahagia rasanya bekerja dikelompok kakitangan yang begitu.. Ya.. kita mahu bahagia hidup didunia dan akhirat.  Mengapa kita perlu susah-susahkan diri dengan perkara yang kita tidak perlu susahpun didunia yang hanya sementara ini... 

Sebab itulah kita cari pakar... baru-baru ini di Ipoh saya dan anak-anak buah telah menganjurkan Kursus Motivasi kepada kakitangan di Hotel Heritage, Ipoh. Penceramahnya dari Institut Aminudin Baki iaitu Tuan Hj Razmi Majid.. Bagus ceramah beliau itu. Saya tak mau ulas panjang fasal ceramah beliau itu tapi saya dapat simpulkan sepertimana yang diceramahkan itu bahawa untuk seronok bekerja  faktor utama ialah tahap kesihatan yang baik, samada kesihatan fizikal dan kesihatan mental yang baik. Untuk mendapatkan kesihatan mental yang baik kita kenalah banyak membaca.. Faktor emosi juga mempengaruhi keseronokan dalam bekerja. Emosi ini selalunya berinteraksi dengan perasaan dan persepsi kita. Bukan mudah seorang kakitangan boleh serasi dengan semua kakitangan lain kerana setiap orang ada ego dan keistimewaan  masing-masing . Yang penting kita perlu berfikiran positif. Untuk seronok juga kita perlu ada aura. Aura kita sesuatu yang unik. Kita perlu buat agar kita dihargai, buat diri kita rasa diterima oleh rakan-rakan, bagi ada rasa selamat dalam organsasi yang diduduki. Perasaan seronok dalam pekerjaan kita akan terjelma kalau kita mempunyai ilmu yang dikembangkan lagi melalui pengalaman kita bekerja. Ada kenikmatan disitu kerana ini akan buat kita suka akan kerja kita. Cubalah belajar menyayangi rakan taulan kita, jangan ada perasaan benci dan tidak suka rakan sekerja kita. Jangan pandang rendah sahabat-sahabat kita. Biar susah bersama dan senang bersama.. selamat dunia akhirat. Berjenakalah secara sederhana sebagai sebahagian rutin kehidupan kita serta bertoleransi sesama kakitangan dengan bantu membantu antara satu sama lain. Insya Allah seperti kata penceramah tersebut. . akan datang kenikmatan dan keseronokan dalam bekerja..

Ok.. cukup takat itu dulu.... nanti saya cerita fasal Hari Keluarga PTKS pula....  kerana salah satu cara nak lepaskan tekanan kerja seharian ialah kita buat Hari Keluarga PTKS. Melalui Hari Keluarga , semua kakitangan dapat lebih mengenali keluarga sahabat-sahabat kita yang bekerja bersama-sama dijabatan dan dapat mengambil bahagian aktiviti yang diatur dengan penuh kegembiraan dan keseronokan. Saya cuba lengkapkan pakej motivasi keseronokan bekerja ini dengan ceramah , hari keluarga dan juga sebelum ini telah atur anak buah mendaki Gunung Jerai dengan berjalan kaki sejauh 12 KM untuk maksud kecemerlangan kesihatan. Sebelum ini juga telah diaturkan pertandingan tenpin boling sesama kakitangan dimana sebahagian besar kakitangan telah mengambil bahagian dengan seronok sekali bermain walaupun banyak yang masuk longkang... tak apa yang penting mau ambil bahagian... Sebenarnya banyak lagi yang telah diaturkan agar ada kelainan dan ada kepelbagaian dalam seharian kita bekerja di pejabat yang boleh memberi keseronokan dan kesihatan fizikal dan mental yang baik seperti aktiviti senaman berirama poco-poco yang dianjurkan setiap minggu, dan harapan saya selepas ini kena sambung balik , majlis jamuan hari raya, program karnival lelong awam hartanah yang julung kali diadakan dan jamuan-jamuan antara staf yang diadakan sekali sekali sebenarnya boleh mengeratkan hubungan kakitangan... itu tidak kira karaoke keluarga yang telah diadakan sekali sekala., boss belanja makan sekali sekala kalau ada duit lebih sikit dan sebagainya..... memang seronok sekali....  

Tapi itu lah yang sedihnya waktu menulis ini saya hanya punyai 6 hari sahaja lagi bersama anak-anak buah yang ceria-ceria belaka sekarang ini.. lebih-lebih lagi mereka dah dapat pejabat dan perabut baru... Agak berat juga saya untuk meninggalkan jabatan yang telah menunjukkan banyak perubahan. Kempunanlah saya hendak merasa bilik baru..dok 'planning' macam-macam kat sana tu nanti. tak apalah demi kerana  tugas , terpaksa akur juga dengan arahan itu kerana sebenarnya saya dah mula serasi dengan sebahagian besar kakitangan walaupun depa tahu saya ni agak 'strict' sikit dalam hal-hal berkaitan dengan disiplin... Adalah sikit-sikit lagi yang tak berapa serasi lagi dengan cara saya tapi.. tak apalah. biasalah tu....itulah namanya manusia.

okkkk... cukup-cukup.. dah melalut panjang ni..  kata nak berhenti....

Selamat Berpuasa.....

Tuesday, 5 June 2012

Bersara & Bertukar

05 Jun 2012                                                                                   
Catatan: Mohd Asri Redha b. Abdul Rahman                                  

Sebahagian pesara yang terlibat sedang menerima cenderamata dan
hadiah sumbangan Jabatan dan Badan Kebajikan dan
Rekreasi Pejabat Tanah Kota Setar
 BertukaR dan BersarA adalah lumrah dalam aliran hidup seorang manusia... begitu juga kakitangan PTKS.. sedar tak sedar rupanya masa berlalu dengan begitu pantas... sampailah masanya seorang pekerja itu bersara dari perkhidmatannya dan ada ketikanya  bertukar kerjaya ketempat lain, samada ditukarkan, mohon bertukar atau mohon berhenti ....
Begitulah kitaran hidup kita... setiap yang bermula pasti  berakhir... sesiapapun tidak dapat menahannya .. perkara itu tetap berlaku.... Majlis Meraikan 
Staff PTKS hadir meraikan pesara-pesara dan pegawai PTKS
yang bertukar tempat kerja...

Persaraan dan Pertukaran Kakitangan PTKS telah diadakan pada 05 Jun 2012 Tkt 12,  Bangunan Sultan Abdul Halim, Alor Setar. Mereka yang terlibat dengan pertukaran ke jabatan lain ialah Puan Rosnani bt. Mat Rais , Wan Shuhairi b. Wan Senu... Pembantu Tadbir,   En Zulkifli Penolong Pegawai Tanah, Puan Cik Shopiah bte. Hassan Pembantu Tadbir . Manakala yang bersara ialah en Azhari b.             Penghantar Notis, Tn Hj Abd Azid b.  Md Zain  Pembantu Tadbir Kanan, Puan Rodziyah bt. Ismail      Pembantu Tadbir Kewangan (Kanan) dan  juga Tuan Syed Khalid b. Syed Osman Penghantar Notis yang akan bersara dalam tempoh terdekat ini.

Saya  bagi pihak semua kakitangan PTKS  telah mengucapkan selamat bersara kepada mereka yang terlibat dan  mendoakan kehidupan mereka bertambah bahagia selepas persaraan dan dapat menumpukan sepenuh masa dan perhatian kepada keluarga masing-masing... Manakala yang bertukar, saya bagi pihak semua staf PTKS  mengucapkan selamat maju jaya kepada semua yang terlibat ... semoga dengan pertukaran ini akan dapat memberi suasana persekitaran tempat kerja baru dan mampu meningkatkan lagi produktiviti jabatan.



Teratak Kasih                                                                                              
Jalan Sultan ABdul Halim, Telok Wanjah.......................

Sunday, 8 April 2012

Aktiviti Saya Hari ini.....

RuMaH oh RUmAH
08 April 2012
Catatan: Mohd Asri Redha...
___________________________________

 
Hari ini macam biasa  aktiviti saya yang sempat dirakamkan ..... gambar menggambarkan segalanya....

Saya sebagai Pentadbir Tanah Kota Setar menyerahkan
Notis 5ATu ntutan Bayaran Premium Tanah kepada
Pengurus Besar Darulaman Realty Sdn Bhd en Zainudin
Hj Zainul. Darulaman Realty SB adalah anak syarikat
milik kerajaan negeri yang akan bekerjasama dengan
kontraktor yang dilantik oleh  KPKT. Sejumlah 500 unit
akan dibina oleh kontraktor yang dilantik......................

Tempat : Unit Perancang Ekonomi Negeri..WDA
dengan .. disaksikan oleh YB Dato' Hj. Amiruddin.. Ahli
Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dato' Hj Khazali Din -
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan)



Insya Allah jika tidak ada apa halangan besar..... dalam tempoh 2 tahun lagi akan tersergam indah 2 blok bangunan flat 19 tingkat rumah mampu milik yang selesa untuk golongan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana di Kg Kilat, Alor Setar . Dalam mengatasi isu keperluan perumahan untuk rakyat yang kurang berkemampuan dan mengatasi masalah setinggan ianya tidak kenal erti perbedaan fahaman politik... semua rakyat berhak untuk menikmati kemudahan rumah yang mampu dimiliki. Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan merealisasikan hasrat tersebut...... Sama-samalah kita berdoa semoga hasrat murni ini menjadi kenyataan....  Amiiin..












 8888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888

TuruN PadanG
Tarikh: 08 April 2012
Tempat : Kuala Kedah
Catatan: Mohd Asri Reda
________________________________________

Dalam membuat sebarang keputusan penting.. pegawaai perlu keluar turun ke padang melihat sendiri situasi dan keadaan tempat.... Ini penting agar keputusan yang dibuat memberi manfaat yang semaksima kepada rakyat. dan juga mengelak dari tersilap membuat keputusan. 

Saya bersama Dato' Hj.Amiruddin, YB. Nasir,
Tn. Hj. Noran..Pengarah JPBDD Kedah ..meninjau
beberapa tapak tanah kerajaan disekitar Kuala Kedah
untuk cadangan projek perumahan awam atau perumahan
mampu milik...................................................................................

Dalam membuat sebarang keputusan pandangan dari semua pihak amatlah perlu agar terutama dari jabatan teknikal dan juga sokongan dari YB Kawasan serta orang politik yang melaksanakan tugas-tugas  eksekutif agar mereka memahami dengan mendalam sesuatu perancangan yang diatur ditapak. Ini akan menyenangkan mereka dalam membuat sebarang keputusan demi kepentingan rakyat...  Pada masa yang sama mereka juga boleh berusaha  mendapatkan dana-dana dari pelbagai sumber untuk melaksanakan sesuatu projek... Tapak cadangan yang dilawati ini adalah antara usaha-usaha  untuk menyediakan perumahan mampu milik dimana saya sebagai Pentadbir Tanah Kota Setar hanya dapat membantu mencari tapak-tapak yang sesuai untuk dibangunkan....


Teratak Kasih.
Alor Setar........

Monday, 20 February 2012

LAWATAN 5S ANGGOTA PEJABAT TANAH KOTA SETAR KE PEJABAT TANAH KULIM DAN JUPEM

20 Februari 2012
Kulim..
catatan: Mohd Asri Redha


Tn  Hj  Shuhaime  Pentadbir Tanah
Kulim sedang menerangkan  sesuatu
kepada Pentadbir Tanah Kota Setar
berkenaan usaha2 pembaharuan yg
dibuat 
Untuk membuat sesuatu perubahan dalam sesebuah organisasi perlu banyak usaha kreatif dan proaktif dalam  tugas harian. Perubahan yang hendak dibuat hendaklah lebih baik dari yang yang semasa. Sudah tentu organisasi perlu melihat organisasi lain yang lebih berjaya dan cemerlang yang boleh dijadikan panduan dan petunjuk terbaik dalam melaksanakan perubahan dalam jabatan sendiri.

Pejabat Tanah Kulim dan JUPEM Kedah adalah antara jabatan-jabatan terbaik yang boleh dijadikan contoh untuk melaksanakan program pembaharuan organisasi. Mereka telah membuktikan kehebatan mereka masing-masing dalam melaksanakan pembaharuan hingga mencapai beberapa kejayaan cemerlang diperingkat nasional.


Rombongan PTKS bergambar kenangan bersama
kakitangan JUPEM di hadapan pejabat JUPEM
 Pejabat Tanah Kulim telah memperolehi Anugerah Inovasi  Sektor Awam 2011dalam kategori Pejabat-Pejabat Tanah Dan Daerah seluruh Malaysia  manakala JUPEM Kedah telah 2  tahun berturut-turut  memperolehi Sijil 5S dari kerajaan.

Wajah-Wajah Ceria..........
Lawatan oleh Pejabat Tanah Kota Setar  pada hari ini ke jabatan tersebut amat kena pada tempatnya untuk mengambil sebanyak mungkin ilmu dan pengetahuan berkenaan pembaharuan-pembaharuan yang dilaksanakan hingga membolehkan jabatan tersebut memperolehi kecemerlangan. Tumpuan lawatan ini adalah untuk melihat bagaimana mereka melaksanakan Program 5S dalam jabatan mereka. Pejabat Tanah Kota Setar tidak lagi boleh berdiam diri sahaja melihat kejayaan jabatan-jabatan lain. Walaupun jabatan ini menghadapi banyak masalah-masalah dalaman yang tidak berkesudahan namun usaha tetap diteruskan walau apa cara sekalipun untuk membuat sesuatu agar Pejabat Tanah Kota Setar menjadi pejabat yang disukai oleh pekerjanya disebabkan suasana persekitaran yang harmoni, disukai oleh pelanggan yang berurusan disebabkan kecekapan dan kemesraan kakitangannya. Kerajaan negeri sendiri senang berurusan dengan PTKS disebabkan cepat dan cekap dalam menangani isu-isu dan masalah tanah yang berbangkit disamping peka dengan kehendak dan keperluan kerajaan negeri.


Anggota rombongan dari PTKS
mendengar taklimat pelaksanaan
5S yang diberikan oleh En Taufik -
Timbalan Pengarah JuPEM Kedah.
 Tugas dan tanggungjawab besar menanti kepada semua anggota Pejabat Tanah Kota Setar bagi menyahut cabaran yang menanti. Membuat perubahan kearah kebaikan   tidak semudah kata-kata. Semua anggota perlu memberikan komitmen yang jitu terhadap keputusan-keputusan yang dibuat. Anggota-anggota yang tidak berminat, penyegan, pemalas, penipu, berkira, curi tulang, tidak berdisplin, suka cari fasal, suka cari salah orang sahaja, buat  kerja bodoh, buat kerja sambil lewa dan tidak selari dengan matlamat dan kehendak jabatan perlu berundur segera dari jabatan ini kerana walau seorang anggota tidak memberi kerjasama maka matlamat yang dicita-citakan tidak akan tercapai... Ketegasan dalam mengambil tindakan disiplin perlu ada dan tidak ada lagi unsur-unsur kasihan dan belas ihsan kepada anggota seperti itu kerana sebenarnya mereka tidak kasihan kepada diri mereka sendiri......

BoLeHkah KitA LakSanaKaN 5S !!!....  segalanya terletak kepada diri setiap anggota...

Ok... jumpa lagi...

Saturday, 11 February 2012

LAB TUNGGAKAN HASIL

12 Feb 2012
Jerai Hill Regency Resort, Gunung Jerai
Catatan: Mohd Asri Redha

'Team' dari Pejabat Tanah Kota Setar sedang berbincang
sebelum menyediakan rangka cadangan Pelan Tindakan
Menangani Isu Tunggakan Cukai dan Hasil Tanah
Hari ini dan semalam saya bersama-sama 4 orang anak buah PTKS sekali lagi menghadiri satu bengkel yang amat penting dalam pentadbiran tanah Kedah ini. Bengkel ini khusus untuk mencari pendekatan dan langkah-langkah yang sesuai untuk mengatasi masalah tunggakan hasil dan cukai tanah yang kalau dilihat angka-angka terkini yang ada di pentadbiran tanah agak menggerunkan dari segi tunggakan cukai dan tunggakan hasil tanah. Ianya dianjurkan oleh pejabat PTG Kedah.

Dalam tunggakan cukai tanah sahaja dianggarkan lebih RM75.00 juta belum lagi dapat dikutip balik. Walaupun angka ini masih lagi boleh dipertikaikan dari segi kesahihannya sama ada benarkah jumlah itu atau mungkinkah ada berlaku pertindihan data menyebabkan begitu banyak direkod namun sekurang-kurang bengkel pada hari ini berbincang dan mencari kata sepakat serta jalan penyelesaian kearah mengurangkan sebanyak mungkin tunggakan cukai tanah tersebut.

Pada masa yang sama bengkel ini juga cuba menyorot lebih mendalam akan data-data tunggakan cukai tanah ini sama ada ianya perlu dibuat pemutihan terutama geran-geran bertindih dimana geran lama masih ujud sedangkan geran baru telah ujud , geran yang telah dibuat pengambilan tapi tidak dibatalkan, tanah bermilik yang telah hilang disebabkan  terhakis oleh sungai dan laut, geran telah lulus ubahjenis kegunaan tanah tapi masih ada geran asal yang tidak dibatalkan dan segala macam penyebab.. Semuanya ini menyumbangkan kepada peningkatan nilai tunggakan.. Hal-hal seperti inilah yang perlu diperhatikan dan diperhalusi oleh peserta bengkel kearah cara bagaimana membuat pemutihan geran-teran tersebut. Sekiranya jumlah tunggakan dapat dikurangkan melalui pemutihan ini maka akan nampak kuranglah sikit jumlah tunggakan...

Sebenarnya nilai tunggakan yang tinggi akan memberikan satu pandangan yang tidak elok kepada pentadbiran tanah, seolah-oleh pentadbiran tanah negeri  tidak membuat sesuatu secara tegas mengutip cukai tersebut dan tidak ada pelan tindakan yang benar -benar berkesan untuk mengatasi masalah tersebut...  Oleh itu menjadi satu kesukaran pula kepada PTG untuk memohon bantuan geran pembangunan dari pihak Kerajaan Persekutuan. Mereka mahu melihat kesungguhan pentadbiran tanah negeri dulu dalam menangani isu tunggakan cukai tanah ini.

Pakar dalam bidang masing-masing sedang membentangkan
cadangan masing-masing dalam usaha mengurangkan
tunggakan hasil dan cukai tanah dan sekali gus
meningkatkan kutipan hasil tanah. Dato Pengarah
Tanah & Galian Kedah telah merumus dan menutup
Lab Tunggakan Hasil Negeri Kedah...
Sayang sungguh kepada sesiapa yang mempunyai tanah yang sah milik tapi gagal membayar cukai tanah, kerana pada akhirnya apa-apa transaksi dan bukan transaksi tanah tidak dapat dilakukan walau apa cara sekalipun... Tanah itu pada akhirnya akan jadi milik kerajaan jua apabila tindakan rampasan tanah diambil. Harta itu tidak dapat diwarisi dan tidak boleh menjadi aset berharga lagi... 


Setiap Pejabat Tanah Daerah telah membentangkan cadangan masing-masing berdasarkan pengalaman jabatan masing-masing dalam mengatasi mengurangkan tunggakan hasil tanah tersebut dan sekaligus cara meningkatkan kutipan hasil tanah.


Banyak cadangan bernas telah dibentangkan oleh para peserta... antara cadangan yang dikemukakan yang sempat saya rekodkan ialah sepertimana ringkasan dibawah:-


a. Mengambil tindakan tegas membuat perampasan tanah yang yang  tertunggak hasil banyak atau telah lama tidak bayar..
b. Mengadakan program anak angkat tunggakan cukai tanah - semua kakitangan bertanggungjawab sama mengesan setiap geran tertunggak dan berusaha sama untuk memohon tuan tanah membayar cukai tanah jika dapat dikesan.
c. Cadangan memberi diskaun kepada tunggakan-tunggakan yang tidak pernah mau bayar... akan menggalakan usaha bayar cukai tanah
d. Mengadakan 'reward' kepada  Tanah Daerah yang dapat kutip hasil terbanyak dari segi peratusannya
e. Mengwar-warkan kepada rakyat supaya segera membuat permohonan pembahagian harta pesaka bila saja berlaku kematian tuan tanah. Satu kempen berkaitan tersebut perlu diatur .
f. Mengiklankan geran dan nama tuan tanah yang mempunyai tunggakan yang banyak dalam akhbar arus perdana agar semua orang tahu keengkaran membayar cukai tanah.
g. Memaparkan senarai geran tanah yang telah dirampas kembali menjadi hak kerajaan negeri dalam billboard, dalam papan-papan kenyataan awam agar orang tuan-tuan tanah termaklum akan kesan jika tidak membayar cukai tanah.. 
h. Memberi kefahaman  kepada pemilik tanah agar membayar cukai tanah disamping cukai pintu. Kesan tindakan undang-undang kegagalan membayar cukai tanah lebih besar kerana tuan tanah boleh  hilang hakmilik berbanding cukai pintu hanya sita barang-barang sahaja.
i.Mengadakan kaunter bergerak ditempat-tempat awam atau kawasan yang mempunyai tunggakan yang banyak dan berbaloi jika diadakan kaunter bergerak tersebut.
j. Pegawai atasan sentiasa membuat pemantauan dan kepedulian terhadap setiap pergerakan fail agar tidak terhenti sekerat jalan dan akhirnya menjadi tunggakan hasil seperti Notis 5A yang telah luput tempoh tetapi  pemohon masih tidak datang membayar premium yang ditetapkan... Tindakan tegas perlu diambil melalui surat-surat pentadbiran dan notis.
k. Membangkitkan tahap kesedaran yang lebih tinggi dikalangan kakitangan pentadbiran tanah dari peringkat pegawai kanan hingga peringkat bawah agar mereka lebih peka dengan isu-isu tunggakan ini dan sama-sama memberi perhatian secara berpasukan untuk menyelesaikan isu tunggakan ini.

Sebenarnya banyak lagi idea-idea bernas, kreatif dan proaktif yang diketengahkan oleh peserta dalam bengkel ini  dan terpulanglah kepada setiap pegawai dan anggota pentadbiran tanah untuk merangka langkah-langkah tersusun secara lebih sistematik untuk merealisasikan cadangan-cadangan yang dikemukakan...

Ok... saya mau turun ke bawah... bengkelpun sudah habis... duduk diatas 1 km dari paras laut ini udaranya nyaman sekali tapi tak lah sejuk sangat, cuma berangin kuat. Pemandangan dibawah sana amat cantik, nampak saujana mata memandang petak-petak bendang yang menguning dan juga laut yang membiru..Penginapan disini ok juga ... amat sesuai untuk orang yang baru berkahwin dan berbulan madu di sini....... yang tak tahannya nak naik keatas dari kaki gunung ialah lebih kurang 12 km dengan jalan berbengkang bengkok.....

ketemu lagi.

Wednesday, 8 February 2012

BUKAN SENANG NAK BAGI TANAH KERAJAAN....

08 Februari 2012
Darulaman Golf And Country Club
Salam Sejahtera..
Ketemu lagi dalam blog saya… entah sapa bacapun saya tidak taulah.. tapi saya tetap menulis untuk santapan diri, peringatan diri dan untuk catatan rekod-rekod aktiviti harian jabatan dan aktiviti saya sendiri.
Sekitar aktiviti bengkel yang diadakan.
Penyelesaian masalah-masalah yang dihadapi dalam kerja seharian sebenarnya banyak diselesaikan melalui aktiviti-aktiviti berbengkel, berseminar , percambahan fikiran dan juga melalui mesyuarat… Untuk itu dalam pentadbiran tanah negeri Kedah ini salah satu masalah utama dalam urusan pentadbiran tanah negeri ialah masalah penyelesaian tunggakan fail-fail pelupusan tanah kerajaan dan mempercepatkan langkah-langkah kearah memberi geran tanah kepada pemohon yang berjaya.
Bagi mengatasi isu-isu yang dibangkitkan ini maka Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Kedah telah menganjurkan satu  ‘ Bengkel Pelan Tindakan Menangani Permasalahan Pelupusan Tanah’..  Bengkel ini melibatkan semua anggota kakitangan pejabat-pejabat tanah daerah dan PTG sendiri dimana terdiri dari pegawai kanan pentadbiran, ketua-ketua unit, pelukis pelan dan pegawai-pegawai teknikal serta pegawai-pegawai yang terlibat secara langsung dengan pelupusan tanah.. Tempat bengkel ialah di DGCC, Jitra pada 08-02-2012.
Sebelum bengkel diadakan para peserta didedahkan ceramah Pelan Tindakan Menangani Perlupusan Tanah Kerajaan – Pengalaman Pejabat Tanah Kulim oleh Tuan Haji Shuhaimi b. Abdul Rahman. Peserta juga diberi info berguna berkenaan Penggunaan Map-Info dalam urusan pelaporan tanah serta catatan maklumat dalam syit digital oleh En Jamil b.  Mat Penolong Pegawai Tanah Kanan dari PTG. Banyak maklumat dan pengetahuan diperolehi dari kedua-kedua penceramah berpengalaman ini dan ia menjadi asas kepada bengkel yang diadakan selepas itu.
Semua daerah telah mengemukakan idea-idea bernas, pendekatan dan cara yang sebaiknya dalam menyelesaikan isu tunggakan pelupusan tanah yang masih banyak dikebanyakan pejabat tanah daerah. Insya Allah dengan adanya cadangan-cadangan dari peserta-peserta bengkel yang berpengalaman ini, ianya akan diteliti balik oleh urusetia bengkel dan dimana yang sesuai dan praktikal akan diimplementasikan untuk semua pejabat tanah daerah.
Secara keseluruhannya saya boleh membuat kesimpulan bahawa kebanyakan isu yang dibangkitkan yang menjadi penghalang kepada kelancaran penyelesaikan isu tertunggak pelupusan tanah ialah seperti berikut:- maklumat pemohon tidak lengkap, pemohon gagal menunjukkan batu tanda sempadan,  fail-fail yang ada masalah tapi tidak dibuat keputusan muktamad, bantahan masih diterima walaupun pamiran telah tamat, fail yang hilang, isu penyimpanan fail dan tiada pegawai yang menjaga fail,  kurang integrity dan kecekapan PPT,  pemantauan yang yang kurang dari pegawai atasan, … notis 5A telah dikeluarkan tapi pemohon tidak datang bayar premium,  pohon tanah atas tanah simpanan hutan seperti kes-kes lama,  pertindihan dengan permohonan-permohonan yang sukar dibuat penyelesaian dan sebagainya, terlalu belas kasihan atas kes-kes yang tidak boleh dipertimbangkan tapi nak layan juga, surat-surat akuan lama yang tidak jelas pasti kedudukan tapaknya secara sukatan, permohonan dari agensi kerajaan – ‘simple’ sangat permohonan dan juga kekurangan pegawai teknikal dan kemudahan berteknologi tinggi seperti GPS, computer berkuasa, perisian map info serta sikap kakitangan sendiri yang enggan menggunakan atau belajar menggunakan teknologi terkini.
Pelbagai langkah penyelesaian dicadangkan oleh peserta bengkel seperti ringkasan yang saya sempat rekod dan catatkan… iaitu seperti berikut:-
Galak digunakan jurukur berlesen jika ada kemampuan kewangan untuk memohon tanah kerajaan,  meningkatkan kecekapan dan integrity PPT,
 memberi kemudahan yang secukupnya pada unit pelupusan dan teknikal seperti pegawai yang mencukupi, peralatan yang canggih seperti MAP info dan Google Earth peralatan sukatan,
Buat pemutihan fail yang tidak berkenaan, menyediakan maklumat lengkap proses permohonan tanah daan pamer atau masuk dalam laman web, pegawai atasan perlu memainkan peranan lebih aktif sentiasa peduli apa yang berlaku dalam urusan ini dan buat pemantauan dan teguran diatas kelambatan dan kekurangan laporan yang disediakan, 
proses pemeriksaan dan sedia laporan tanah – maklumat pemohon mesti lengkap dan terkini untuk mudah dihubungi oleh PPT bagi mengadakan pemeriksaan. Pemohon m esti dipastikn telah dapat mengenalpasti sekurang-kurangnyua 2 batu tanda sempadan untuk memudahkan  PPT membuat sukatan dan ‘conection’ Tak hadir masa sukat.. tolak terus permohonan  dan maklum kepada pemohon sebab penolakan
Kenalpasti fail-fail yang tertunggak dan buat keputusan. Mana yang perlu ditolak perlu ditolak segera dan dimaklumkan kepada pemohon .  Tidak perlu disimpan fail-fail berkenaan. Pemutihan fail…pemeriksaan dan pembahagian semula fail-fail yang da mengikut masalah-masalah yang ada hingga gagal diproses untuk pemberimilikan tanah.
Kelewatan pemohon mengemukakan dokumen dokumen.. maka permohonan itu terpaksa di tolak jika gagal mengemukakan apa-apa dokumen dan beri       maklumat palsu.
Di atas tanah kerajaan sudah ada individu-individu  usaha dan ada rumah struktur. Masih ada bantahan walaupun pameran telah tamat.. sebab kasihan… keputusannya sekarang ialah tidak ada lagi bantahan.  Tolak terus.
Kalau pemohon hantar wakil waktu periksa tanahpun elok ditolak saja fail tersebut.. maka mungkin ini agak meragukan. Ini boleh dikenalpastikan siapa sebenarnya pemohon.  Manakala notis pamiran yang hilang dan rosak.. dicadangkan ditampal ditempat yang berkunci.
Cadangan menutup dulu permohonan tanah kerajaan dalam tempoh setahun. Untuk tujuan menyelesaikan dulu kes-kes lama yang belum lagi diambil tindakan.
Ini adalah beberapa cadangan yang sempat saya catat dan rekodkan dan ada banyak lagi isu dan cadangan yang dikemukakan oleh para peserta bengkel berasaskan pengalaman jabatan masing-masing..
Semoga  tindakan diambil hasil dari bengkel  ini akan meningkatkan lagi bilangan pelaporan urusan permohonan tanah yang dibuat dan mengurangkan permohonan-permohonan lama yang banyak tertunggak.
Untuk jabatan saya iaitu PTKS bersedialah anda  semuanya mengambil langkahan yang perlu serta merta untuk meningkatkan lagi usaha menyelesaikan masalah tunggakan pelupusan tanah ini dan Insya Allah jika segalanya berjalan lancar akan menjadi salah satu jabatan terbaik dalam menyelesaikan isu tunggakan pelupusan tanah dan pada masa yang sama akan meningkatkan hasil tanah melalui premium tanah dan cukai tanah…
Ok… saya mau relax dulu .. mau nonton siri jenaka Mai Cek Mai..kat TV1.. katanya bekas staf PTKS adalah salah seorang pelakonnya… Eloklah sangatlah  beliau terjun ke bidang itu dari masuk kebidang yang tak sesuai dengan jiwanya..

Sunday, 4 December 2011

KHIDMAT TIDAK MENGIRA TEMPAT

05 Disember 2011
Catatan: Mohd Asri Redha.

Selamat Sejahtera semua,

Pagi ini rasanya semua ceria-ceria  belaka. Hujanpun tidak turun lebat sepertimana yang dijangka. Kita di Pejabat Tanah tetap meneruskan perkhidmatan kepada rakyat seperti biasa...


Turun ke padang utk membantu menyelesaikan masalah
warga emas yang tidak mampu datang ke opis untuk
menyelesaikan urusan tanah. Sampai begitu sekali 
jabatan beri perkhidmatan.....Kes-kes seperti ini
perlu diketengahkan kepada orang awam akan
 betapa baiknyaperkhidmatan yang diberikan.
Tidaklah hanya kena kutuk dan aduan tidak
puas hati pelanggan sahaja diterima......
Kg Telok Bagan, Alor Setar (18.12.2011)
.
 Sebenarnya banyak perkhidmatan-perkhidmatan yang pejabat tanah sediakan memberi manfaat yang besar kepada sebilangan besar rakyat... bagi saya terlalu banyak... Namun begitu kadang-kadang kerja baik kakitangan PTKS dihilangkan oleh sedikit kesilapan yang berlaku  dan kurang baik perkhidmatan yang diberikan oleh sebahagian staf jabatan... Ini memang tidak dapat dielakkan kerana kita berurusan dengan manusia... Namun begitu jabatan cuba mengurangkan seminima mungkin akan kesilapan dan kelemahan-kelemahan yang dikenalpasti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat....

Perkara-perkara baik dan perkhidmatan-perkhidmatan terbaik yang diberikan oleh pentadbiran tanah perlu dihebah-hebahkan epada umum supaya rakyat termaklum. Banyak orang awam diluar sana tidak mengikuti perkembangan-perkembangan terkini dalam pentadbiran tanah. Ini akan menghapuskan persepsi rakyat sebelum ini yang menganggap bila berurusan dengan pejabat tanah memang lambat dan layanan tidak memuaskan...

Warga emas ini menyatakan persetujuan pindah milik
tanahya kepada penerima dengan disaksikan oleh Puan
Rodziah bte. Abd. Razak , Pen. Peg Undang-Undang
(Penolong Pentadbir Tanah Kota Setar).. Urusan ini di
buat diluar kawsan.
Satu lagi perkhidmatan mesra rakyat yang diberikan oleh Pejabat Tanah Kota Setar ialah perkhidmatan penyaksian urusniaga tanah diluar pejabat... Perkhidmatan ini sebenarnya tidak digalakkan sangat, namun dalam kes-kes tertentu yang melibatkan kepentingan-kepentingan tertentu maka pegawai-pegawai jabatan ini sanggup turun ke padang membantu terutama golongan-golongan kurang upaya dan warga emas yang sudah tidak mampu untuk bergerak ke mana-mana lagi. ..  Perkhidmatan ini adalah percuma tetapi jabatan ini akan cuba mencadangkan dimasukkan dalam pindaan Aturan Tanah Kedah agar ditetapkan bayaran-bayaran tertentu dikenakan untuk perkhidmatan-perkhidmatan seperti ini kerana sedikit sebanyak dapat menampung kos pengangkutan dan memberi sedikit pendapatan kepada kerajaan negeri...

Ok.. jumpa lagi...

Teratak Kasih

Monday, 14 November 2011

Inovasi Dan Kreativiti Dalam Pentadbiran Tanah

14 November 2011
Hotel Heritage, Ipoh
Catatan: Mohd Asri Redha


Salam Sejahtera, pembaca maya saya sekalian.

Hari ini saya berkunjung kekota raya Ipoh ini untuk menghadiri program Persidangan Pentadbiran Seluruh Malaysia Kali ke 18. Ia diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan iaitu Pusat pentadbiran utama negeri Perak Darul Ridzuan.

Penulis di Majlis Jamuan Makan Malam Anjuran
Kerjaan Negeri Perak di Kediaman Rasmi Menteri
Besar Perak Sempena Persidangan tersebut
Apa yang menarik persidangan kali ini adalah bertemakan  Inovasi Dalam Pentadbiran Tanah’.. Tema ini amat menarik sekali diketengahkan kerana dalam pentadbiran tanah yang semakin kompleks dan penuh cabaran sesuatu yang baru perlu diteroka untuk menyesuaikan dengan perubahan persekitaran yang berlaku baik perubahan dari segi jumlah penduduk, perubahan teknologi maklumat, perubahan pembangunan fizikal dan pelbagai perubahan yang berlaku. Untuk membuat perubahan kearah yang lebih baik melalui inovasi bukanlah perkara mudah. Ianya memerlukan kreativiti setiap warga kerja dalam pentadbiran tanah.  Persidangan kali ini peserta didedahkan dengan contoh-contoh inovasi yang dilakukan oleh beberapa pejabat tanah. Hasil dari inovasi yang dilaksanakan telah menyebabkan beberapa pejabat tanah telah dianugerahkan beberapa pengiktirafan yang membuktikan inovasi yang diperkenalkan itu amat member manfaat  kepada pentadbiran tanah keseluruhannya.

Apa yang menjadi masalah utama dalam pelaksanaan inovasi ini ialah dari segi faktor sumber manusia yang ada.. iatu pekerja yang ada.  Bagaimana kita hendak menggerakkan semua kakitangan yang ada agar dapat melaksanakan setiap perancangan dan pelan tindakan yang disusun…  Bukan semua pekerja yang kita miliki adalah berkualiti… Pekerja yang baik dan berdisiplin rasanya tidak ada masalah untuk dibentuk apa sahaja yang  jabatan berkehendak. Bagi pekerja yang tidak berdisiplin atau kurang berdisiplin dan pemalas ianya akan memberi  kesan kepada pencapaian jabatan. Inilah masalah yang terpaksa ditangani.. Saya sendiri mengakui gagal dalam membentuk sepenuhnya  anak-anak buah agar melaksanakan kerja dan tanggungjawab kearah pencapaian cemerlang.  Bukan semua ketua jabatan mempunyai  kemahiran interpersonal menangani isu-isu sumber manusia ini….  Sebab itu saya amat menghormati dan menghargai kebijaksaan ketua-ketua jabatan yang berjaya memimpin anak-anak buahnya 100% kearah pencapaian kepada satu matlamat yang ditetapkan.

Saya juga amat berbangga kerana salah seorang pembentang kertas kerja  adalah dari pentadbiran tanah Kedah iaitu Tuan Haji Md. Shuhaime b. Abd Rahman Pentadbir Tanah Kulim. Beliau telah membentangkan kertas kerja bertajuk Inovasi Dalam Pentadbiran Tanah Kulim…  Beliau dijemput untuk membentangkan kertas kerja ini berikutan kejayaan Pejabat Tanah Kulim mendapat Anugerah Inovasi Pentadbiran Daerah Dan Tanah Malaysia 2010….

Antara inovasi dan pembaharuan yang dibengkelkan ialah pembaharuan dalam LMS, OSC dan idea-idea baru dan kreatif serta inovasi yang dilaksanakan oleh beberapa Pejabat Tanah di Malaysia. Hasil rumusan bengkel ini juga akan menjadi input yang berguna untuk pihak JKPTG merangka pindaan KTN yang sedang dirangka pada waktu ini dengan mengambil kira perkembangan dan persekitaran  yang sentiasa  berubah.

Sunday, 25 September 2011

Jamuan Silaturrahim Sempena Hari Raya Aidil Fitri 2011

22 September 2011
Catatan: Mohd Asri Redha

Bulan ini jenuh sungguh dengan majlis makan-makan. Maklumlah bulan Ramadhan telah berlalu, bulan Syawal pula pakat buat makan-makan. Sapa yang mula atur macam tu sampaikan  dah tak larat lagi nak makan-makan.. Kalau tak buat jamuan raya macam tak cukup syarat aje... jabatan/agensi  lain buat , jabatan kita tidak buat..Nak Puasa Enam Syuawal pun puas selit-selit kerana hari-hari ada jamuan raya. Dah orang jemput, tak pergi rasa tak selesa pula.. bila pergi kenalah makan. Takkan tengok saja kut makanan lazat yang terhidang depan mata....

Tak apalah kalau ada kemampuaan kita buat, tapi kalau sampai nak susah-susah hati cari duit untuk buat jamuan.. rasaya tidak perlulah.  Kalau buat niat bersyukur tu tak apalah juga.. tapi janganlah sampai riak dan membazir.. Kita kena ingat diluar sana dan diluar negara kita ada orang yang tak dapat makan secukupnya... ada yang badan kurus kering kerana tak makan dan ada orang yang mati kebuluran kerana tak makan...

Pejabat Tanah Kota Setar mengikut  arus juga menganjurkan Majlis Jamuan Hari Raya Aidil Fitri yang diadakan pada 22 September 2011. Program ini diadakan di Dewan Jamuan, tingkat 12 Bangunan Sultan Abdul Halim, Alor Setar. Majlis ini diadakan juga sebagai menghargai pelanggan-pelanggan yang berurusan dengan jabatan ini. Antara pelanggan jabatan ialah pembayar cukai tanah, pemaju perumahan, peguam, bank, pelelong berlesen, perunding-perunding, jurukur, jurunilai, arkitek, keluarga staf dan rakan staff, jabatan-jabatan kerajaan , syarikat swasta dan sebagainya...Pelbagai juadah disediakan untuk tetamu-tetamu yang hadir...

Terima kasih kepada mereka yang hadir menjayakan majlis jamuan hari raya ini, dan juga kepada semua kakitangan Pejabat Tanah Kota Setar  yang telah bertungkus lumus menjayakan program yang dikendalikan melalui Badan Kebajikan Pejabat Tanah Kota Setar. Semoga dengan adanya program seperti ini akan lebih mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama kakitangan dan juga dengan pelanggan jabatan yang berurusan

Jumpa lagi...

Teratak kasih

Sunday, 28 August 2011

Minhajul Abidin ... Wasiat Imam Ghazali...

Catatan: Mohd Asri Redha b

Kemajuan kepada prestasi  jabatan atau organisasi sebenarnya banyak bergantung kepada kualiti sumber manusianya..... Bukan mudah untuk mendapat staf yang berkualiti tinggi. Manusia mempunyai ego masing-masing.  Belum tentu pegawai yang diambil bekerja oleh panel pemilih setelah melalui pelbagai tapisan yang ketat akan menunjukkan prestasi yang terbaik... Walau bagaimanapun oleh kerana itu sahaja cara yang mampu dibuat maka kita kena terimalah apa yang ada dan apa yang diberikan staf kepada jabatan-jabatan atau organisasi.  Kadang-kadang waktu mula-mula kerja memang bagus bukan main.. tapi bila dah sah jawatan baru mula tunjuk belang sebenarnya.. rupanya kerja bagus untuk dapat pengesahan jawatan aje... lepas dah dapat mulalah buat perangai... Mereka tidak lagi menghargai kerajaan atau jabatan yang memberi mereka peluang pekerjaan...tapi cubalah kita 'stop' sat gaji bulanan mereka... rasanya apa tindakan depa.... atau tok sah bagi bonus kat depa... rasanya dia terpa mai maki habis.. katanya haknya... tang kerja tak buat juga... atau buat lebih kurang  aje   Mereka mula anggap kerja depa sebagai sampingan aje.. buat lebih kurang aje.... ini adalah realiti dikebanyakan pejabat.  Bukan semua staf buat macam tu.. hanya sebahagian kecil yang berperangai macam tu......  


Sebahagian dari staf PTKS sedang khusyuk mendengar
tazkirah / pengajian oleh Ustaz Johari Morad
dari Komplek Pendidikan Islam Darul Hidayah
 Kadang-kadang saya hairan bila melihat perawakan dan imej ditonjolkan.. Nampak lahiriah bagus, berpakaian yang amat menyenangkan mata memandang, berkopiah lagi atau pakai lebai , bertudung litup dan macam-macam perkara baik yang kita nampak... tapi bila mai fasal buat kerja lebih sikit, kerja berat sikit, atau minta tolong kerja kawan sebentar... mula tunjuk belang sebenarnya..  Bila layan pelanggan macam harimau, cenge  tidak bertempat, sombong dan cakap acuh tak acuh aje dengan pelanggan yang amat memerlukan perkhidmatan kita. Kerja berkira... apa yang ditonjolkan langsung tidak menunjukkan keperibadian Islam yang syumul....  seolah-olah menganggap kerja bukan sebagai ibadat...  rugi sungguhlah manusia-manusia yang mempunyai sikap-sikap negatif seperti ini sepanjang masa mereka bekerja sehari suntuk sampai umur 58 tahun .. tanpa mendapat apa-apa modal untuk dibawa ke alam  baqa.

Oleh itu kita kena seimbangkan sambil kita kerja untuk mendapatkan kebahagiaan dan kesejahteraan didunia dan dalam masa yang sama kita mendapat kebahagian dan kesenangan di alam kubur dan akhirat nanti...........

Merawat jiwa manusia dan insan-insan ini bukan mudah.. ianya perlu dibuat berterusan.. Saya setuju benar dengan usaha-usaha yang diatur oleh Badan Kebajian Pejabat Tanah Kota Setar mengadakan aktiviti bercorak pemantapan insan kakitangan PTKS ini.  Sebab itu saya tidak ada masalah untuk memberi kebenaran kepada urusetia untuk mengadakan program kuliah ugama sebulan 2 kali iaitu setiap hari khamis 2 minggu terakhir asalkan ianya tidak menjejaskan aktiviti jabatan dan tidak menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat. Kuliah-kuliah agama merupakan makanan jiwa kepada insan untuk lebih memastikan manusia tidak tergelincir dari landasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.. tajuk datas adalah merupakan apa yang dibicarakan dan diberi penjelasan panjang lebar oleh Uztaz Johari Morad dari Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah...

Saya amat mengharapkan sambutan dari staf yang mempunyai kesempatan masa dapat hadir kuliah-kuliah seperti ini.  Kita bawa tuan-tuan guru yang berwibawa untuk membimbing kita...  Banyak benda yang kita tidak tahu sebenarnya dalam hal-hal agama ini..  Kita kena terima hakikat itu dan kita perlu belajar dimana ada kesempatan termasuklah saya sendiri... Kalau kita cemerlang dalam agama Insya Allah yang lain-lain akan ikut bergerak sama.. kalau kita kata cemerlang dalam agama tapi  tidak dalam hal-hal kerja harian.. tentunya ada silap dimana dalam ilmu yang kita perolehi.

Sekarang kehadiran ke kuliah adalah sukarela.. tapi sekali-sekala kena juga dipaksa rela hadir.. kerana manusia ni ... kadang-kadang dia cuba lari dari kebenaran... dan kena diberi teguran dan nasihat berterusan..

Ok... itu saja kali ini... nak pergi rebus ketupat dulu.. rebus sajalah.. nak balut tak reti... tera tulah orang la ni.. semua kena beli...

Selamat Hari Aidil Fitri kepada semua yang mengenali saya.. Maaf Zahir Dan Batin..